Asam garam GBK
CERITA SAYA : ORIENTASI TINGKATAN SATU, SATU CHAPTER DALAM HIDUP GBK
Membuka pagar sekolah setiap tahun bermula setiap semester baru merupakan kewajiban Guru Kaunseling sekiranya berkhidmat di sekolah berasrama di kawasan pedalaman. Suasana hening dan tenang di perkarangan sekolah kembali gamat dengan kehadiran wajah-wajah baru yang akan menjadi sebahagian kelompok besar klien UBK untuk tahun itu. Orientasi Tingkatan Satu dibuat secara khas sebelum bermulanya minggu sekolah berlangsung.
Maka secara rasminya saya tidak pernah merasa menyambut Tahun Baru (2002-2008) bersama keluarga tercinta kerana sekolah jauh terletak di kawasan pedalaman. Namun hati saya tidak juga merasa kekurangan, mungkin kerana kehadiran pelajar-pelajar serta pengawas dan PRS mengisi kemelut jiwa ingin bersama keluarga.
Seperti biasa pada pagi itu, saya hanya memantau kumpulan pengawas dan PRS yang telah dilatih khas mengendalikan Program Orientasi Tingkatan Satu. Melihat wajah-wajah mereka membuatkan jiwa seorang guru tenang dan puas. Tenang kerana melihat mereka selamat di sekolah, puas kerana merasai kegirangan mereka berada dalam suasana baru. Terdapat seorang pelajar perempuan datang dengan sebuat beg kecil sahaja. Saya pun hairan kerana mana cukup beg sekecil itu dimuatkan pakaian untuk beberapa mingguberada di sekolah. Jadi saya dengan pengawas yang bertugas meminta persetujuan untuk memeriksa beg pelajar tersebut. Didapati semuanya dalam satu helai (baju t sehelai, baju sekolah sehelai, seluar panjang sehelai dan segala-galanya sehelai). Bederau juga rasanya melihat keperitan hidup pelajar itu, namun saya cuba untuk bertahan supaya tak kelihatan emosi saya terguris pilu. Saya bawa pelajar itu di bawah jagaan khas oleh PRS supaya dia tidak merasa serba kekurangan. Hampir tengah malam baru saya kembali ke flat guru dan terus saya membuka almari untuk melihat baju-baju yang tidak muat untuk dipakai untuk diberikan kepada pelajar itu keesokkan harinya dan payah juga saya mencari kerana tiada baju yang kecil sepert saiz pelajar itu.
Pada malam seterusnya pula, pengawas dan PRS melaporkan tahap kesihatan, didapati ramai pelajar yang sakit perut pada malam pertama itu. Saya dengan guru kaunseling yang lain cuba untuk mengenalpasti pelajar-pelajar ini. Memandangkan kes sakit perut ini saya pandang serius. Saya dengan bantuan pengawas dan PRS membuat satu slot dari hati ke hati bersama lebih 350 orang pelajar Tingkatan Satu malam itu. Ketika melihat seramai lebih 30 orang yang sakit perut malam itu, saya cuba mendekati dan memainkan peranan seolah-olah perbualan ibu kepada anak-anak kecil. Mereka memberitahu saya, mereka bukannya sakit perut kerana tidak makan ataupun keracunan makanan dewan sekolah tetapi sakit perut keranan terlebih makan. Satu lagi kenyataan yang memilukan yang saya terpaksa hadapi ketika bersama-sama wajah-wajah muda ini.
Genap 7 kali tanpa menyambut Tahun Baru bersama keluarga, tapi Tahun Baru 2009 ini saya sambut bersama kelauraga dan suami tercinta. Rasa macam satu kekurangan pula kerana selama ini Tahun Baru dihias dengan wajah anak-anak muda Tingkatan Satu yang belum mengerti apa-apa. Namun di hati sempat berkata sewaktu berdoa untuk sambutan tahun baru, diharap tahun ini merupakan tahun yang membahagiakan dan sejahtera dalam mengharungi situasi baru dengan cabaran serta strategi baru menghadapi pelajar yang berbeza di bumi Labuan . Mencabar macam mana sekalipun situasi yang saya harungi di tempat baru, saya perlu rasa bersyukur dengan kehidupan yang telah ditakdirkan kerana saya pernah bersama anak-anak murid yang serba kekurangan dan hidup susah. Walaupun berada di tempat baru, pelajar-pelajar ini masih menghubungi dan mengkhabarkan berita gembira tentang kemajuan dan kejayaan mereka dalam pelajaran dan hidup. Bahagia rasanya bila melihat semula, anak kecil yang dulunya dengan baju lusuh bila datang ke sekolah atau tidak sekalipun pernah menjamah hidangan yang lengkap sudah berada di Tingkatan Enam malah ada yang masuk ke Matrikulasi Labuan. Ya, sudah pasti mereka tidak pernah melupakan saya, wajah pertama yang mereka kenali sewaktu mereka menjejak kaki ke sekolah menengah. Itulah nikmat menjadi seorang guru kaunseling.
TINTA KAUNSELOR,
VERONICA PETER BALLAK
SMK MUTIARA
W.P LABUAN..
0 comments:
Post a Comment